Peguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin hadir bagi sambungan perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 19 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan Nur Aida Arifin mengaku beliau mungkin terlepas pandang ketika menjalankan siasatan kes membabitkan Datuk Seri Najib Razak kerana suruhanjaya itu menerima terlalu banyak dokumen.

Nur Aida berkata, beliau telah terlepas pandang untuk merujuk e-mel berkaitan mesyuarat firma audit KPMG Malaysia kepada bekas Perdana Menteri itu ketika siasatan dilakukan.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal balas oleh peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Wan Azwan mencadangkan mungkin terdapat sikap ‘tidak kisah’ oleh saksi pendakwaan ke-40 prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk merujuk e-mel KPMG kepada Najib.

Nur Aida memberitahu, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu, sebaliknya mengaku beribu-ribu dokumen diterima pihaknya sehingga ada yang tertinggal dalam pengamatan agensi anti rasuah itu.

“Pada masa siasatan, kita dapat lebih beribu-ribu dokumen untuk siasatan kes ini, jadi berkemungkinan samada dokumen itu saya terlepas pandang untuk bertanya atau pegawai perakam tidak sempat untuk bertanya kepada Najib.

“Sebenarnya saya tidak berapa ingat. Apapun, saksi-saksi lain dalam kes ini telah mengesahkan perkara itu.

“Najib juga diberi peluang untuk membela diri dan menjelaskan jika beliau nak menambah apa-apa ketika siasatan. Kita telah beri banyak peluang untuknya membela diri,” katanya.

Nur Aida ketika memberi keterangan pernah menyatakan satu mesyuarat diadakan di rumah Najib di Taman Duta, di sini, bersama pihak pengurusan 1MDB.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang mana difahamkan lelaki itu telah memulakan mesyuarat dengan membentangkan kandungan e-mel yang dipersetujui oleh Najib.

Najib seterusnya mengarahkan satu mesyuarat bersama KPMG diadakan dengan segera bagi menyelesaikan perkara berkaitan pengauditan.

Namun mahkamah hari ini dimaklumkan Najib tidak pernah bersetuju dengan kandungan e-mel dan tidak mengarahkan untuk mengadakan mesyuarat bersama KPMG.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama. – MalaysiaGazette