GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff yang dimasukan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat keradangan perut kini dilaporkan beransur pulih.

Jurucakap Pejabat Pusat Khidmat ADUN Sungai Bakap berkata, Nor Zamri diberi ubat pelali bertujuan mengurangkan kesakitan yang dihadapi dan merehatkan beliau.

“Beliau masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (HSJ) dan Alhamdulillah, setakat malam tadi keadaannya semakin pulih namun perlu banyak berehat.

“Setakat jam 10 pagi tadi, saya belum berjumpa beliau mahupun doktor untuk mendapatkan perkembangan terbaru.

“Marilah sama-sama kita mendoakan kesembuhan segera dan kesihatan yang baik untuk beliau,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

MalaysiaGazette semalam melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff, 56, ditidurkan selepas dimasukan ke Hospital Seberang Jaya dekat sini akibat komplikasi bahagian perut.

Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan Nor Zamri kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN Sungai Bakap terpaksa ditidurkan