In Saff Travel menawarkan satu pakej umrah edisi istimewa dengan harga serendah RM4,970 seorang selama sembilan hari, tujuh malam yang mana empat hari jemaah akan berada di Mekah dan tiga hari di Madinah.

KUALA LUMPUR – Agensi pelancongan In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd. (In Saff Travel) membuktikan syarikat itu bukan scammer apabila berjaya membawa 566 jemaah umrah menerusi pakej Super Jimat dengan menaiki penerbangan Malaysia Airline dengan harga RM4,970.

Malah pengarah urusannya, Mohd. Fahmi Mohd. Nawi berkata, pakej sembilan hari tujuh malam itu turut melibatkan selebriti popular, Puteri Sarah Liyana yang memilih syarikat untuk menunaikan umrah kali ketiga.

Menurut beliau, kejayaan membawa jemaah bermula hari ini dan esok menafikan tuduhan yang apabila digelar scammer ekoran menawarkan pakej umrah pada harga yang sangat murah.

“Tuduhan itu tidak memberi sebarang kesan negatif kepada kami untuk terus beroperasi sehingga kini walaupun keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti syarikat yang telah mula beroperasi pada 1 Di­sember 2014 sedikit tercalar.

“Ini kerana sebelum ini, trip pertama menerusi pakej sama telah pun selamat berlepas pada hujung Februari dengan menaiki Arabia Airline

“Malah tahun lalu, In Saff te­lah berjaya menerbangkan lebih 9,000 jemaah umrah yang mana 80 peratus daripada pelanggan mengambil pakej umrah ekonomi yang ditawarkan pada harga bermula RM8,670 selama 12 hari 10 malam,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Puteri Sarah menunaikan ibadah umrah hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Fahmi menambah, selain Puteri Sarah, In Saff Travel turut menjadi pilihan ramai selebriti sebelum ini untuk menunaikan umrah antaranya Emma Maembong, Dayan Trisha, Wan Sharmila dan Kuza.

Tegas beliau, apa yang penting perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik dan berkualiti tanpa mengira mana-mana status jemaah.

“Bersesuaian dengan tagline syarikat iaitu Insafi Nurani Santuni Rohani telah membuatkan kami sentiasa meletakkan keutamaan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dan dalam masa yang sama menyatuni jemaah yang berkeinginan untuk menjadi tetamu Allah.

“Pada masa sama, syarikat ingin memfokuskan kepada tawaran pakej umrah pada harga sederhana dan juga murah itu bukan menjadikan faktor kewa­ngan sebagai taruhan utama misi perniagaannya tetapi mahu mempermudahkan lagi urusan jemaah untuk menunaikan umrah di Tanah Suci,” katanya.

Mengenai harga yang terlalu murah itu boleh memberi kesan kepada pemain pasaran yang menawarkan pakej yang berpatutan, Mohd. Fahmi berkata, harga murah sedemikian ti­dak akan meninggalkan impak negatif kepada pasaran.

Malah, kata beliau, ia memberi petunjuk kepada pesaing untuk menawarkan pakej seumpama itu mengikut keperluan operasi masing-masing.

“Setiap jemaah memiliki misi dan niat masing-masing serta mengikut perbelanjaan yang ada jadi terpulanglah kepada mereka yang mahu mengambil pakej yang paling murah atau pakej yang paling mahal.

“Kematangan syarikat sepanjang 10 tahun itu ini telah membolehkannya menawarkan pakej umrah terbaik yang dapat memenuhi keperluan serta bajet semua jenis jemaah,” katanya.

Selain Mohd. Fahmi, syarikat yang kini memiliki 31 cawangan itu diasakan oleh tiga lagi anak muda yang merupakan lepasan pelajar ummul qura universiti di Mekah iaitu Aswadi Ali, Nik Fairul Irwan Nik Harun Aminarrashed dan Falaahuddin Ahmad Jasni. – MalaysiaGazette