Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi dalam pertemuan mereka di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat gergasi teknologi, Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah USD2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun mendatang.

Jumlah ini adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dinyatakan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi dalam pertemuan mereka di Putrajaya hari ini.

Pelaburan itu meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan Kecerdasan Buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia.

“Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan ini yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik.

“Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus Kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan hari ini.

Usai kunjungan hormat, Anwar dan Satya kemudiannya menghadiri National AI Leadership Forum.

“Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan Kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.

“Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast