Suspek ceroboh rumah dan curi telefon bimbit milik seornag wanita yang sedang tidur dalam kejadian di Damansara Damai Petaling Jaya selasa lalu sedang diburu polis.

KUALA LUMPUR – Polis memburu seorang lelaki yang disyaki mencuri telefon bimbit ketika menceroboh sebuah rumah di Damansara Damai, Petaling Jaya Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya terkesan satu video klip berdurasi seminit 22 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok berhubung kejadian itu pada 1 Mei lalu.

Katanya, polis telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.01 pagi.

“Siasatan awal mendapati, klip video itu memaparkan seorang lelaki telah cuba menceroboh masuk ke rumah mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 37 tahun.

“Suspek disyaki mencuri dua telefon bimbit jenis Vivo dan Samsung dalam rumah ketika mangsa sedang tidur di dalam bilik rumahnya di Damansara Damai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shahrulnizam, mangsa hanya menyedari tentang kejadian itu selepas bangun dari tidur dan mendapati pintu hadapan rumahnya terbuka dan diceroboh oleh individu tidak dikenalpasti.

Tambah beliau, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM500.

“Polis telah membuka kertas siasatan dan sedang giat memburu suspek lelaki itu bagi membantu siasatan polis.

“Kes disiasat di Bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, hendaklah diseksa dengan penjara atau sebat jika disabitkan kesalahanya,” katanya. – MalaysiaGazette