CHENGDU – Malaysia melangkah ke separuh akhir Piala Thomas 2024 selepas lapan tahun apabila menyingkirkan bekas juara edisi 2014, Jepun 3-1 di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech Chengdu, di sini, hari ini.

Malaysia akan berdepan China pada saingan separuh akhir Sabtu ini selepas tuan rumah mengalahkan juara bertahan India 3-1 pada satu lagi aksi suku akhir malam ini.

Beregu nombor dua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani muncul wira skuad negara apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi pasangan ke-16 dunia, Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 21-15, 21-12 dalam masa 66 minit.

Beregu ranking ke-15 dunia itu menghadiahkan mata kemenangan negara untuk melangkah ke separuh akhir sekali gus menghidupkan harapan negara menamatkan kemarau gelaran berusia 32 tahun.

Ketiadaan misteri pemain perseorangan utama Jepun, Kodai Naraoka, telah meningkatkan keyakinan pasukan negara, terutamanya apabila pemain perseorangan profesional Lee Zii Jia memulakan pertemuan yang dinanti-nantikan dengan bergaya apabila mudah mengatasi Kenta Nishimoto untuk mata pertama.

Zii Jia menampilkan kehebatannya sejak awal perlawanan apabila mendahului 11-9 sebelum melengkapkan set pertama 21-13 dan set kedua mendahului 15 mata pada 17-2 sebelum menokhtakan set kedua 21-3 dalam masa 33 minit.

Jepun berjaya menyamakan kedudukan pada perlawanan kedua selepas beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa bertarung sengit dengan gandingan bekas juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dengan kedudukan terikat 17-17 pada set pertama sebelum beregu negara menang 21-18.

Bagaimanapun, pasangan Jepun berada di ranking nombor enam dunia itu bangkit mencipta kemenangan 21-14 di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set penentuan mendebarkan apabila Aaron-Wooi Yik yang pada satu ketika ketinggalan 14-19 berjaya mengutip lima mata berturut-turut untuk mengikat 19-19, tetapi Hoki-Kobayashi kekal tenang untuk mencatat kemenangan 21-19, sekali gus melakarkan kemenangan kelapan dalam 10 pertemuan.

Malaysia kembali mendahului apabila perseorangan ketiga negara dan pemain nombor 37 dunia, Leong Jun Hao mengejutkan Koki Watanabe, di ranking ke-22, pada perlawanan ketiga.

Pemain berusia 24 tahun itu tenang walaupun ketinggalan 1-4 sebelum menyamakan kedudukan 9-9 dan terus menciupta kemenangan 21-13.

Jun Hao tampil dengan corak permaian menyerang dan bertahan dengan baik pada set kedua dengan mendahului Watanabe 18-8 seblum melengkapkan aksi dengan keputusan 21-10 dalam tempuh 35 minit.

Didorong oleh kemenangan Jun Hao, Sze Fei-Nur Izzuddin tampil dengan semangat juang tinggi apabila mempamerkan aksi yang menakjubkan selepas tewas 18-21 pada perlawanan pembukaan dengan Koga-Saito sebelum bangkit dengan permainan lebih kemas untuk mencipta kemenangan 21-15, 21-12 pada dua set berikutnya.

Keputusan hari ini menandakan kemenangan kedua berturut-turut Malaysia ke atas Jepun selepas menewaskan mereka 3-2 semasa aksi terakhir Kumpulan D di Bangkok, dua tahun lalu.

Kali terakhir Malaysia memasuki peringkat separuh akhir adalah pada edisi 2016 sebelum kalah kepada juara akhirnya, Denmark, 2-3 di Kunshan, China.

Malaysia membuka saingan Kumpulan D dengan dua kemenangan besar 5-0 menentang Hong Kong, Sabtu lalu dan Algeria, Ahad lalu tetapi terlepas peluang muncul juara kumpulan apabila tewas 3-2 kepada jaguh Eropah Denmark kelmarin. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast