Recep Tayyip Erdogan

ANKARA – Turkiye telah menggantung semua perdagangan dengan Israel susulan ‘tragedi kemanusian yang semakin teruk’ di Semenanjung Gaza.

Kementerian Perdagangan Turkiye berkata, langkah itu akan dilaksanakan sehingga Israel membenarkan misi kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa gangguan ke Gaza,

Perdagangan antara kedua-dua negara bernilai hampir AS$7 bilion tahun lepas.

Sebagai reaksi, Menteri Luar Israel menuduh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bertindak seperti “diktator”.

Israel Katz dalam kenyataan di X berkata, Erdogan “tidak menghiraukan kepentingan rakyat dan ahli perniagaan Turkiye dan mengabaikan perjanjian perdagangan antarabangsa”.

Susulan itu, Katz mengarahkan kementerian luar untuk mencari alternatif lain dengan tumpuan kepada pengeluaran tempatan dan import dari negara lain.

Dalam satu kenyataan, Turkiye berkata, penggantungan perdagangan itu meliputi “semua produk”.

Pada tahun 1949, Turki adalah negara majoriti Islam pertama yang mengiktiraf Israel, tetapi hubungan semakin teruk dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Pada 2010, Turki memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel selepas 10 aktivis Turkiye pro-Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan komando Israel yang menaiki kapal milik Turkiye semasa cuba memecahkan sekatan maritim Israel di Semenanjung Gaza.

Hubungan dipulihkan pada 2016, tetapi kedua-dua negara mengusir diplomat tertinggi masing-masing dua tahun kemudian dalam pertikaian mengenai pembunuhan Israel terhadap rakyat Palestin di tengah-tengah protes di sempadan Gaza-Israel.

Erdogan semakin tegas dalam mengkritik Israel sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

Pada Januari, beliau berkata, serangan tentera yang dilancarkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai tindak balas adalah “tidak kurang daripada apa yang dilakukan oleh Hitler”. – Agensi