Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Melancarkan program M.E.S.R.A. ECRL di Bandar Utama Batang Kali, Selangor. Foto AIZAT

HULU SELANGOR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencapai kemajuan melebihi 65 peratus sehingga April lalu bagi keseluruhan jajaran yang merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi Selangor, projek itu mencatat kemajuan melebihi 26 peratus iaitu sejajar dengan tarikh penyiapan jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pada Disember 2027 dan pengoperasian bermula Januari 2028.

“Selangor ini fasa terakhir dan lambat sedikit kemajuannya. Ini kerana banyak cabaran di Selangor termasuk pengambilan tanah. Di Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu berjalan dengan baik pengambilan tanah sudah capai 65 peratus.

“Dari segi peletakan landasan telah mencapai lebih 100 kilometer sebab setiap hari boleh mencapai 1.5 kilometer,” kata Anthony dalam sidang media di sini hari ini.

Jelas Anthony, rangkaian ECRL di Selangor sepanjang hampir 120 kilometer telah menetapkan sebanyak lima buah stesen iaitu stesen Terminal Bersepadu Gombak, Kapar dan Jalan Kastam bagi tujuan penumpang sahaja.

Manakala stesen Bandar Serendah dan Puncak Alam merupakan stesen gabungan penumpang dan kargo.

“Jajaran ECRL yang melintasi Selangor dapat merancakkan sektor pelancongan, perhotelan dan perniagaan di Batang Kali, yang turut berpotensi dijadikan pusat pengangkutan kereta api bagi memacu industri berkenaan.

“Hasrat ini boleh dicapai dengan pembinaan ‘Pintasan Serendah’ ke Pelabuhan Klang yang merangkumi trek tolok standard untuk ECRL dan trek tolok meter untuk KTMB, sekaligus memperkukuhkan daya saing pengangkutan rel kargo serta sektor logistik dan pengendalian kargo setempat.

“Sehubungan dengan itu, jajaran ECRL yang bakal mempunyai stesen gabungan penumpang dan kargo di Bandar Serendah dapat melengkapkan penubuhan hab kargo nasional di Serendah yang akan memudahkan perhubungan kereta api ke koridor ekonomi dan pelabuhan utama di Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Pulau Pinang; dan Pelabuhan Tanjung Pelepas,” katanya lagi.

Anthony sebelum itu merasmikan Karnival Kerjaya ECRL selama dua hari yang berlangsung di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali.

Karnival yang dikenali sebagai M.E.S.R.A. ECRL itu turut menyediakan temuduga terbuka bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL atau PLKI-ECRL.

Program tersebut menawarkan latihan kepada 1,800 orangg dalam pelbagai jawatan seperti juruelektrik, juruteknik tapak binaan, pembantu jurutera bangunan dan mekanik jentera berat.

Pelatih berumur 18 tahun ke atas yang berjaya menamatkan latihan akan terus ditawarkan peluang pekerjaan di bawah Projek ECRL.

Usaha itu adalah memastikan bilangan tenaga pekerja tempatan yang mencukupi untuk Projek ECRL pada masa terdekat dan akan meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka dalam sektor pembinaan dan industri rel di masa hadapan.

Pada majlis itu, Anthony turut menyampaikan surat tawaran kepada 15 pelatih. – MalaysiaGazette