Datuk Muhamad Zaki Harun

PASIR MAS – Polis Kelantan menggunakan kenderaan berperisai AFV Commando V150 untuk memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan kejadian letupan bom dan tembakan di Pasemas, Wilayah Narathiwat, Thailand pada Isnin lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata aset milik Pasukan Gerakan Am (PGA) itu memulakan rondaan sejak Khamis lepas di kawasan Pos Ular, Pos Pisau Raut, Pos Naga Ibu dan Kuala Jambu di Tumpat dengan kekuatan seorang pegawai dan 13 anggota.

“Kenderaan digunakan ini jelas menunjukkan kita sentiasa peka terhadap apa jua insiden yang berlaku di sempadan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini.

Dalam pada itu Muhamad Zaki berkata pihaknya setakat ini belum menerima permohonan secara rasmi daripada polis Thailand bagi mendapatkan sebarang maklumat berhubung nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dalam insiden letupan bom tersebut.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam pada 29 April lepas, empat anggota keselamatan Thailand cedera apabila terkena letupan bom yang dipercayai diletakkan penjenayah di Kampung Pasemas, Sungai Golok.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Sungai Golok Pol Col Jadsadavit Inprapan dilapor berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian menemukan sebuah kenderaan sedan berwarna putih yang mempunyai nombor pendaftaran negara jiran. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast