Dr Mahathir berucap pada Himpunan Rakyat Bela Palestin yang diadakan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Solidariti yang disuarakan Malaysia dan negara lain seluruh dunia  akan membuka mata pelbagai pihak terhadap kekejaman zionis Israel yang wajar dikejam.   

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembunuhan kejam wanita, kanak-kanak di Gaza kini menunjukkan peperangan bersifat peribadi.

“Saya dapat berjumpa dengan pemimpin Hamas dan mereka beri keterangan tidak akan berundur dari Gaza. Kita lihat ini sudah menjadi satu peperangan peribadi bagi penduduk Gaza kerana setiap mereka mempunyai anak, ibu bapa, isteri dibunuh oleh orang Israel.

“Orang Palestin akan membalas dendam walaupun ambil masa ratusan tahun,” katanya semasa berucap pada Himpunan Rakyat Bela Palestin yang diadakan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, barisan pimpinan parti itu, Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua dan aktivis, Hishamuddin Rais.

Menurut Dr Mahathir, sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dan seluruh dunia akan menentukan Israel menjadi negara yang dikecam dan dihina.

“Sebab itu kita berkumpul untuk menyatakan pendirian kita,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa seluruh rakyat Malaysia konsisten bersolidariti terhadap Palestin dan menyuarakan penentangan terhadap Israel sehingga keadilan dapat dicapai.

“Seluruh dunia bergerak untuk mengecam Israel. bangsa Palestin tak boleh dihapuskan. Mereka tak berundur, mereka memberi jaminan walau diserang mereka akan pertahankam wilayah mereka kerana wilayah itu bukan wilayah Israel tapi Palestin.

“Kita tak boleh terima satu bangsa merampas negara milik bangsa lain. Kalau ini diterima maka kita juga tak akan selamat. Kita akan turut mempertahankan penduduk Gaza dan Tebing Barat hingga akhirnya mencapai kemenangan,” katanya lagi.

Terdahulu, peserta himpunan berkumpul di luar bangunan Kedutaan AS bermula 2.30 petang.

Sebelum itu, semua peserta berkumpul di tiga lokasi iaitu di Bangunan Yayasan Selangor di Bukit Bintang, Masjid KLCC dan Masjid Ibnu Mas’ud di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur sebelum bergerak ke kawasan berhampiran Kedutaan AS.

Sebagai rekod, perhimpunan itu diadakan sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap perjuangan suci rakyat Palestin dan kecaman terhadap rejim zionis yang berterusan membunuh rakyat Palestin.- MalaysiaGazette