Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua daripada empat suspek yang disyaki menyamun rumah warga emas berusia 75 tahun di Jalan Mawar, Taman Muda, Ampang pada 23 Mac lalu berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dua suspek yang merupakan warga asing itu ditangkap pada Khamis lalu pukul 6.50 petang di kawasan yang sama.

“Polis membuat rampasan beg galas, dua kotak mengandungi wang syiling, satu jam tangan dan serangkai anak kunci bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu dua suspek bersama dua lagi rakannya disyaki menyamun secara berkumpulan dengan memecah masuk rumah warga emas tersebut melarikan wang tunai RM3,000 serta dua buah telefon bimbit.

“Semasa mangsa berada di rumah bersama isteri dan pekerja telah datang empat suspek berjumpa dengan pekerja mangsa kononnya untuk urusan jual beli penghawa dingin.

“Tiba-tiba salah seorang suspek telah menolak mangsa hingga terjatuh lalu dan pekerja dicekik serta ditumbuk pada bahagian muka oleh dua suspek,” jelasnya.

Mangsa mengalami kecederaan bengkak di bahagian mata kiri manakala pekerjanya mengalami sakit di leher akibat dicekik serta luka di bawah mata kanan.

“Kedua mangsa selepas itu menerima rawatan lanjut di Hospital Ampang,” tambah Mohd Azam.

Mohd Azam menambah, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua uspek positif dadah.

“Semakan dapati suspek pertama mempunyai satu rekod lampau manakala suspek kedua tiada rekod lampau,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek aktif melakukan samun dan pecah rumah sejaj awal tahun ini dengan menyasarkan kawasan perumahan.

Sementara itu, beliau memaklumkan dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Mei.

Kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu tindakan sengaja mendatangkan cedera ketika melakukan rompak.

Hukuman Seksyen 394 Kanun Keseksaan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat. – MalaysiaGazette