KUALA LUMPUR – Polis mengklasifikan kematian tiga beranak semasa mandi-manda di Sungai Jeram di Batang Kali, Hulu Selangor tengah hari tadi sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihak polis menerima aduan ari panggilan Mers 999 tentang kejadian lemas membabitkan lelaki dewasa dan anaknya iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan di Sungai Jeram, Ngenjur,Jalan Batang Kali-Genting sekitar jam 1.14 tengah hari tadi.

“Siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati ketika mangsa sedang melakukan aktiviti beriadah bersama ahli keluarganya tiba-tiba anak perempuannya berusia 9 tahun telah tergelincir ke dalam sungai dan bapanya cuba menyelamatkan anak sulungnya itu.

“Pada masa yang sama anak lelakinya (6 tahun) turut terjun ke dalam sungai tanpa disedari oleh ibunya menyebabkan kesemua mangsa telah lemas di dalam sungai tersebut,” katanya dalam kenyataan perkembangan terbaharu tragis itu.

Tambah beliau, pasukan polis telah bergegas ke lokasi kejadian lebih kurang 1.22 petang disusuli anggota bomba untuk menyelamatkan ketiga-tiga mangsa lemas itu.

“Kesemua mangsa telah dijumpai pada jam 1.30 petang dan dibawa naik ke tepi sungai sementara menunggu pihak ambulans tiba memeriksa keadaan mangsa.

“Pada jam lebih kurang 2.25 petang, ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Kubu Bharu dan dibawa ke forensik untuk proses bedah siasat,” tambahnya.

Ahmad Faizal menasihati orang ramai supaya sentiasa peka terhadap keselamatan anak-anak dan anggota keluarga semasa terlibat dalam aktiviti-aktiviti air dalam kawasan Hulu Selangor terutamanya pada musim hujan bagi mengelak sebarang kemalangan. – MalaysiaGazette

Tiga beranak lemas di Sungai Balak