Gambar hiasan

KUALA LUMPUR  Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan pada kecenderungan meningkat menjelang data tanaman utama dikeluarkan minggu depan, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata, peserta pasaran akan memantau laporan bulanan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk April, yang dijadual dikeluarkan pada Jumaat depan.

“Saya berpendapat apa yang akan dilihat oleh pasaran ialah laporan MPOB yang positif dengan paras stok dijangka rendah untuk tempoh sebulan lagi.

“Oleh itu, kami menjangka harga berada antara RM3,800 dan RM3,980 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sebaliknya, peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata niaga hadapan MSM dijangka diniagakan dalam sentimen turun naik minggu depan berikutan bekalan minyak sawit yang mencukupi di Malaysia dan Indonesia.

Katanya, permintaan untuk komoditi itu dijangka dari negara-negara di Timur Tengah, China, India, Pakistan dan Kesatuan Eropah.

“Kami menjangka MSM diniagakan antara julat RM3,700 hingga RM3,800 satu tan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata, jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada April menunjukkan penurunan bulan ke bulan.

Intertek Testing Services menganggarkan eksport minyak sawit sebanyak 1.21 juta tan, merosot 8.97 peratus daripada anggaran pada Mac manakala AmSpec Agri Malaysia mengunjurkannya sebanyak 1.14 juta tan, susut 11.46 peratus.

“Data Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan pada April menunjukkan pengeluaran minyak sawit meningkat sebanyak 3.76 peratus pada asas bulan ke bulan.

“Pasaran kini sedang menunggu anggaran pengeluaran minyak sawit pada April daripada UOB Kay Hian dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia menjelang laporan tanaman MPOB pada April,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran kebanyakannya tinggi berikutan permintaan kukuh dari India.

Pada asas mingguan, kontrak bulan semasa Mei 2024 merosot RM41 kepada RM3,890 satu tan, Jun 2024 dan Julai 2024, masing-masing berkurangan RM52 kepada RM3,870 dan RM3,844 satu tan.

Ogos 2024 susut RM48 kepada RM3,832 satu tan, September 2024 turun RM44 kepada RM3,838 satu tan dan Oktober 2024 merosot RM46 kepada RM3,829 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 219,172 lot daripada 386,204 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka susut kepada 230,394 kontrak daripada 245,831 kontrak minggu lepas.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan merosot RM70 kepada RM3,930 satu tan daripada RM4,000 satu tan pada minggu sebelumnya. – BERNAMA