Setiausaha Agong Perikatan Nasional Dato Seri Hamzah Zainuddin berucap pada Majlis Ramah Mesra Perikatan Nasional Bersama Masyarakat India, Hulu Selangor. Foto AIZAT

BATANG KALI – Kenyataan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah belum dibawa ke meja rundingan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu masih belum dibincangkan pada peringkat pusat pimpinan PN.

“Kita belum bincang secara terperinci di peringkat PN,” katanya kepada media selepas berkempen sempena majlis ramaj mesra PN bersama masyarakat India di Batang Kali malam tadi.

Hamzah diminta mengulas mengenai kenyataan Abu Bakar yang berkata, pihaknya bersedia menggalas tanggungjawab memimpin negeri Perlis sekiranya rentetan krisis integriti yang melanda kepimpinan negeri itu terutama melibatkan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli kebelakangan ini.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perubahan kepemimpinan negeri paling utara tanah air itu juga tidak pernah dibincangkan dalam gabungan tersebut.

Abu Bakar berkata, pihaknya bersedia dengan apa jua kemungkinan namun sebarang keputusan kedudukan Menteri Besar Perlis tetap terletak kepada kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan keputusan pimpinan tertinggi PN Pusat.

Malah Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari turut berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan isu pertukaran kepimpinan kerajaan Perlis biar pun Mohd Shukri Ramli yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – MalaysiaGazette