Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick melawat barangan yang terdapat di Jualan Madani semasa di program Sembang Santai Koperasi ketika di Stadium Mini Kuala kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melancarkan Koperasi Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Sepang pada 16 Mei ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah inisiatif baharu dengan koperasi-koperasi menyediakan perkhidmatan dalam sektor pelancongan, penginapan, hospitaliti, produk dan tempat yang menarik sama ada di kampung mahupun di sempadan bandar.

Katanya, ini adalah langkah awal untuk dilaksanakan agar koperasi tersebut dapat bersaing dengan pusat-pusat pelancongan yang ada.

“Cuma jumlahnya nanti saya akan umumkan, kita akan lancarkan pada 16 Mei.

“Tetapi, ia adalah satu inisatif baharu yang kita akan perkenalkan tahun ini, Mei ini khas untuk kita membantu koperasi pelancongan bagi mempersiapkan mereka menghadapi tahun melawat Malaysia 2026,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Program Sembang Santai YB Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Stadium Mini, di sini, hari ini.

Sementara itu, Benedick berkata, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus memperkasakan penglibatan koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan bagi membantu kerajaan menangani isu kenaikan kos sara hidup.

Ujarnya, KUSKOP telah memperkenalkan inisiatif Jualan Madani Koperasi (JMK) bagi membantu meringankan beban masyarakat melalui program yang dilaksanakan di premis perniagaan koperasi serta kawasan-kawasan terbuka yang menjadi tumpuan masyarakat.

Jelasnya, sehingga Mei tahun ini, sebanyak 226 Coop Mart dibuka di seluruh Selangor melibatkan koperasi sekolah, pengguna, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan bukan pengguna. – MalaysiaGazette