KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM75 juta untuk cadangan pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari Jaya, Tanjung Karang.
Projek PPR ini telah mendapat kerjasama dengan Berjaya Corporation Berhad melalui sumbangan tanah seluas 20 ekar di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi, Mukim Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor kepada KPKT.
KPKT berkata, projek ini bagi penempatan semula 245 keluarga peneroka estet getah yang bekerja di lima ladang di Batang Berjuntai iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.
Pelaksanaan projek PPR Bestari Jaya, Tanjung Karang ini telah pun diluluskan pada tahun 2018.
Namun berikutan penetapan hala tuju baharu kerajaan semasa, projek PPR ini perlu ditender semula secara terbuka bagi tujuan pembangunan projek PPR berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini isu ini masih tidak dapat diselesaikan sehingga terdapat pekerja ladang yang terpaksa diusir dari rumah sedia ada tersebut dan terpaksa mencari tempat berteduh dalam kalangan saudara mara.
Rasa keprihatinan dengan nasib peneroka estet getah ini, KPKT telah meneliti kembali permohonan pembinaan rumah untuk 245 pekerja ladang yang terkesan itu melalui kerjasama strategik bersama pihak Berjaya Corporation Berhad. – MalaysiaGazette