Rahmad (tengah) ketika merasmikan Perpustakaan Kanak-kanak Budimas di Kampung Orang Asli Gapam Baru, Jasin, Melaka hari ini.

JASIN – Yayasan Kebajikan Budimas menyasarkan untuk mewujudkan 12 perpustakaan kanak-kanak di kawasan luar bandar khususnya perkampungan Orang Asli di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, R. Anne berkata, ia bertujuan merapatkan jurang akses kemudahan itu yang dihadapi antara kumpulan kanak-kanak di luar bandar dan di kota.

Menurutnya, melalui program Budimas Education Charity Fund (BECF) usaha itu sekali gus dapat memastikan tiada kanak-kanak terpinggir daripada peluang untuk menimba ilmu.

“Ini penting bagi memastikan mereka mempunyai hak sama rata mempelajari ilmu sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Pastinya, kampung yang dipilih itu untuk dibina perpustakaan ini perlu mempunyai ramai kanak-kanak agar kemudahan ini dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin,” katanya.

Beliau barkata demikian kepada pemberita selepas program Perasmian Perpustakaan Kanak-kanak Budimas di Kampung Orang Asli Gapam Baru, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman. Hadir sama, Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas, Tunku Datuk Yaaob Khyra.

Mengulas lanjut Anne berkata, setakat ini terdapat 12 perpustakaan kanak-kanak telah dibina di perkampungan Orang Asli iaitu enam di Selangor, Negeri Sembilan (tiga), Pahang (satu) dan dua di Melaka sejak ia diperkenalkan pada 2015.

“Setiap perpustakaan ini menelan belanja keseluruhan berjumlah RM170,000 dilengkapi dengan 4,000 buku dan bahan bacaan untuk semua peringkat umur bermula dari kanak-kanak hinggalah menengah.

“Seperti Perpustakaan Kanak-kanak Budimas di Kampung Gapam Baru ini, ia bakal memberi memberi manfaat kepada kira-kira 50 pelajar berusia antara lima hingga 15 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette