Faisal diserang oleh individu tidak dikenali sehingga badannya mengalami luka teruk selepas disimbah asid.

SHAH ALAM – Seorang lelaki diberkas semalam untuk siasatan kes simbah asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pasar raya dekat Kota Damansara telah direman hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek telah dibenarkan direman selama dua hari bagi membantu siasatan polis.

“Terdahulu, suspek berusia lingkungan 20-an diberkas di Pandan Indah, Ampang semalam.

“Pagi tadi, dia dihadapkan ke mahkamah untuk perintah reman dan dibenarkan ditahan reman direman dua hari sehingga Selasa ini untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan oleh polis untuk mengetahui motif kejadian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Tambah Hussein, setakat ini, polis telah merakam keterangan tiga individu termasuk Faisal sendiri sebagai mangsa.

Tambah beliau, polis juga akan memanggil beberapa saksi bebas pada hari ini untuk membantu siasatan kes tersebut.

Difahamkan, dalam kejadian pada petang Ahad, pemain sayap Selangor FC itu dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya.

Faisal yang tercedera dalam insiden itu kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan keadaannya dilaporkan stabil.

Hussein berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Seorang lelaki ditahan polis bantu siasatan kes Faisal disimbah asid