Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh bercakap kepada media selepas melawat pusat mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu. Foto MOHD ADZLAN, 07 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan ada dua buah syarikat telah menawarkannya kerja selepas beliau bersara sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 9 Mei ini.

Bercakap kepada media mengenai perkara itu selepas melakukan tinjauan di pusat undi awal di Kem Erskein 4 Rejimen Semboyan Diraja di sini, beliau bagaimanapun belum membuat sebarang pilihan berkenaan.

“Dari segi pelawaan di syarikat-syarikat pun setakat hari ni sudah ada dua tawaran tapi saya belum beri apa-apa jawapan.

“Cuma di akhir (selepas persaraan) kalau boleh nak berehat dululah …Insyaaallah kalau masih sihat, masih boleh menyumbang akan berjumpa. Tapi itu bukan janji sayalah, kita doa sama-sama,” katanya tanpa menyatakan jawatan yang ditawarkan oleh kedua-dua syarikat berkenaan.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu merupakan tugasan terakhir bagi Abdul Ghani yang akan bersara mulai Khamis ini.

Abdul Ghani, 66, pernah mengendalikan beberapa pilihan raya seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan yang terbaharu iaitu Pilihan Raya Umum (PRU15).

Sementara pada itu, Abdul Ghani ketika menjawab pertanyaan media mengenai pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang berkhidmat di SPR, beliau kata, ia berlaku ketika negara masih lagi berada dalam pandemik Covid-19.

Katanya, pada masa itu salah seorang daripada pengurus pilihan raya (RO) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangkiti Covid-19 dan terpaksa dipakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika mahu menerima borang pencalonan.

“Pilihan raya semasa zaman Covid-19 itu adalah pilihan raya yang sangat mencabar…itu yang tak lupa, apabila kes di Melaka RO kita kena Covid.

“RO kita bila terima borang pencalonan terpaksa pakai PPE dengan lengkap dan menggunakana kita punya van bergerak. Van bergerak SPR itu saya rasa satu idea yang bernas yang dicadangkan oleh pihak urus setia pada waktu itu dalam keadaan kegawatan.

“Banyak peristiwa-peristiwa lain tapi alhamdulillah, berkat kerjasama semua dan pihak KKM, polis dan PBT serta semua jabatan yang terlibat

“Alhamdulillah, kita dapat lakasanakn pilihan raya dengan sempurna walaupun dalam keadaan yang agak gusar dan kelam kabut,” ujarnya. – MalaysiaGazette