KUALA KUBU BAHARU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum memanggil Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming untuk memberi keterangan bagi siasatan berhubung aduan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa pengumuman peruntukan sebanyak RM5.21 juta pada bulan lalu.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Saleh, perkara itu akan diserahkan kepada pengerusi baharu kerana beliau akan bersara pada Khamis ini.
“(Nga Kor Ming) Belum dipanggil. Akan serahkan pada kepimpinan (SPR) akan datang,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan dan meninjau proses undian awal di Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu hari ini.
Abdul Ghani berkata demikian mengulas laporan media yang mengatakan Kor Ming bersedia untuk dipanggil SPR baru-baru ini.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini berkata, peruntukan untuk menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkenaan diberikan sempena Program Sentuhan Kasih yang dilaksanakan di bawah kementeriannya.
Tambah beliau, perkara itu bukan menjadi isu yang menyalahi peraturan pilihan raya berikutan pengumuman itu dibuat sebelum hari penamaan calon.
Perikatan Nasional (PN) mendesak SPR supaya mengambil tindakan berikutan pengumuman peruntukan oleh Kor Ming menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu melanggar peraturan pilihan raya.
KPKT pada 18 April mengumumkan memperuntukkan RM5.21 juta membabitkan 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). – MalaysiaGazette