KUALA LUMPUR – Bagi memudahkan bakal-bakal jemaah haji negara untuk melunaskan tanggungjawab, Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI untuk musim haji tahun ini seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, bakal haji bagi musim 1445H/2024 boleh membuat pembayaran dam sebelum ke tanah suci Makkah.

“Bertepatan dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, bakal-bakal haji tahun ini yang akan melaksanakan ibadah haji secara Tamattu’ dan Qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran dam pada kadar semasa yang ditentukan sebelum sampai di tanah suci kerana ia lebih mudah.

“Sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan haji yang menyeluruh, tahun ini TH terus menyediakan kemudahan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI dan juga melalui kaunter pejabat cawangan di seluruh negara.

“Kaedah pembayaran secara atas talian ketika di tanah air lagi pastinya dapat membantu menyenangkan lagi bakal haji berbanding ketika tiba di Makkah nanti”, tambahnya.

Pembayaran dam tahun ini ditetapkan pada kadar RM725 bagi seekor kambing/kibas di mana daging sembelihan ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Makkah.

Manakala, kadar pembayaran korban pula ditetapkan pada RM936 untuk seekor kambing/kibas dan urusan pengagihan akan dilaksanakan oleh Islamic Development Bank (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutamanya di rantau negara teluk dan benua Afrika.

Tawaran pelaksanaan korban ini turut dibuka kepada semua pendeposit TH.

Pembayaran dam dan korban ini boleh dilaksanakan melalui aplikasi THiJARI bermula hari Isnin, 29 April 2024 ataupun secara bersemuka melalui pembayaran di mana-mana kaunter pejabat cawangan TH di seluruh negara.

Mohamed Ameen turut mengingatkan kepada semua bakal haji supaya berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam yang mencurigakan daripada agensi-agensi pelancongan ataupun mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Beliau berkata, TH berasa bertanggungjawab untuk mengingatkan kepada para pendeposit terutamanya bakal-bakal haji untuk menyemak dan memeriksa terlebih dahulu sebarang syarikat penyedia perkhidmatan korban atau dam secara teliti bagi mengelakkan dari terpedaya dengan taktik scammer.

“Sekiranya bakal-bakal haji ingin laksanakan korban atau dam dengan sendirinya, dinasihatkan supaya bakal-bakal haji memastikan syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut berdaftar secara sah dan mempunyai pengalaman serta rekod pengurusan pelaksanaan dam dan korban yang baik di tanah suci,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast