Anggota DBKL mengalihkan pokok besar yang tumbang ke atas sebuah kereta berhampiran Hotel Concorde di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan semula
garis panduan untuk memantau pemuliharaan pokok-pokok tua di sekitar Kuala Lumpur.

Kenyataan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa selepas kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini petang tadi yang mengorbankan satu nyawa.

Dalam tragedi itu, dua orang dilaporkan cedera manakala 17 buah kenderaan mengalami kerosakan.

Katanya, DBKL telah mengenal pasti banyak pokok berusia 50 sehingga 80 tahun di sekitar ibu negara.

Ujar beliau, tindakan itu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan penjalan kaki terjamin di sekitar ibu negara.

Petugas DBKL mengalihkan pokok besar yang tumbang ke atas sebuah kereta berhampiran Hotel Concorde di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

“Sememangnya semua pokok terlibat hanya menunggu masa untuk tumbang lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Kita lihat pokok itu tegap tetapi kita perlu melihat garis panduan yang perlu diambil agar memastikan pokok-pokok sudah tua ini diambil bagi keselamatan orang awam.

“Data berapa banyak pokok tua kita tidak ada buat masa ini, tetapi pemantauan akan dilakukan bagi mengesan berapa banyak pokok tua yang masih ada,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan semua pokok di Kuala Lumpur dilakukan  dua tahun sekali.

Kerja-kerja membersihkan pokok besar yang tumbang berhampiran Hotel Concorde di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur p;eh pekerja DBKL. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

“Pokok yang tumbang hari ini pokok lama berusia lebih 50 tahun dan ia di bawah pemantauan pihak swasta,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, DBKL akan memperincikan bentuk bantuan dan pampasan kepada mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.

“DBKL akan mengenal pasti profil mangsa dan sebagainya. Kita akan hulurkan bantuan selain melihat insurans yang mereka ada.

“Kita akan bincangkan perkara ini dan rujuk kembali kepada pihak yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kerja-kerja pembersihan di kawasan kejadian dijangka selesai selewat-lewatnya malam ini. – MalaysiaGazette