KUALA LUMPUR – Penyerang Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid sudah semakin pulih namun tidak dapat diturunkan dalam masa terdekat bagi memastikan dia benar-benar pulih.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memerlukan tempoh bertenang kerana masih lagi trauma sebelum kembali fokus bersama pasukan.
“Akhyar tidak akan dapat beraksi Sabtu ini dan selain mengalami kecederaan berikutan insiden yang berlaku, pihak kelab juga memberikannya ruang dan tempoh bertenang dan mengharapkan pemain ini akan kembali pada minggu berikutnya bersama pasukan,” katanya di Facebook kelab itu.
TFC akan berdepan Perak FC di gelanggang sendiri pada perlawanan sulung Liga Super pada Sabtu ini.
Steinbruckner yang lebih mesra dipanggil Tommy berkata, anak-anak buahnya pada ketika ini dalam keadaan lebih baik dari sudut fizikal dan mental walaupun selepas insiden yang berlaku dalam arena bola sepak Malaysia yang turut melibatkan pemain dari pasukan ini.
Ini kerana para pemainnya sedar tentang kepentingan perlawanan pembukaan ini untuk memastikan mereka dapat bermula dengan positif bagi saingan liga musim ini.
“Selain Akhyar, Stenvoorden juga mengalami kecederaan semasa aksi pra-musim dan beliau juga tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini.
“Apa yang positif, Azam Azmi kini telahpun menjalani latihan penuh bersama pasukan selepas sembuh dari kecederaan dan sudah bersedia untuk diturunkan,” katanya.
Khamis lalu, Akhyar mengalami kecederaan selepas dipukul di bahagian kepala dan kaki dengan menggunakan besi boleh laras dalam kejadian samun berhampiran kondominium kediamannya dekat bandar Kuala Terengganu.