KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia terutamanya di Myanmar semakin berkurangan.
Ini kerana mereka dibebaskan oleh sindiket terbabit yang tidak tahan dengan usaha agresif pelbagai khasnya Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) sejak kebelakangan ini.
Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya difahamkan daripada pelbagai sumber yang jumlah mangsa pemerdagangan tinggal sedikit sahaja selepas ramai sudah dibebaskan.
“Sudah tentu MHO bukan seorang dalam misi ini sebaliknya pelbagai agensi terutamanya di luar negara tampil membantu. Keluarga dan kenalan mangsa juga banyak menerima berita berkaitan perjuangan MHO yang agresif berjuang untuk mangsa pemerdagangan manusia ini sejak dua tiga tahun ini.
“Hasilnya kita dapat maklumat rata-rata sindiket ini tertekan apabila pelbagai maklumat mereka didedahkan secara terbuka juga. Hakikatnya kita tidak boleh berdiam begitu sahaja lagi-lagi apabila mangsa-mangsa ini bukan memilih untuk menjadi mangsa pemerdagangan sebaliknya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Hishamuddin juga memaklumkan pihaknya sekali lagi berjaya membawa pulang dua lagi mangsa selepas diselamatkan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Mangsa yang berketurunan Tionghua masing-masing adalah seorang lelaki berusia 29 tahun berasal Sarawak dan seorang perempuan berumur 25 tahun dari Perak.
Hishamuddin juga mendedahkan ada juga dalam kalangan rakyat Malaysia yang sudah mula ‘selesa’ bekerja dengan sindiket berkenaan dan enggan pulang.
“Kami diberitahu daripada wakil MHO sendiri di sana bahawa mereka ini memang dari kalangan penjenayah tegar yang amat dikehendaki oleh polis di negara kita,” ujarnya.
Difahamkan juga berikutan konflik perang di Myanmar, sindiket yang menjadikan mangsa sebagai tebusan sebelum memaksa mereka bekerja sebagai scammer kini itu mula berpindah ke Laos, Kemboja dan Vietnam. – MalaysiaGazette