Presiden Malaysia Humanitarian Aid and Relief, Jismi Johari bercakap pada sidang media mengenai Ops Ihsan Humanitarian Aid to Gaza di Duta Nusantara Clubhouse, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 02 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tindakan terbaru rejim zionis menutup pintu lintasan Kerem Shalom telah menyebabkan operasi bantuan kemanusiaan terhenti serta-merta.

Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan Jismi Jihari berkata, tindakan tersebut akan mencetuskan malapetaka kemanusiaan yang teruk serta dikhuatiri bakal mencatatkan rekod kematian terburuk selepas Perang Dunia Kedua.

“Ratusan treler yang membawa bantuan kemanusiaan kepda rakyat Palestin diberitakan kini terkandas termasuklah 4,000 pek bantuan bakul kemanusiaan terbaru Ops Ihsan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan, Israel telah mengarahkan beratus ribu pelarian yang berlindung di Rafah untuk segera meninggalkan kawasan itu dan telah menghantar tentera untuk melakukan operasi darat.

Jismi berkata, arahan pemindahan kurang dari 24 jam oleh rejim zionis melanggar undang-undang antarabangsa dan norma-norma kemanusiaan.

Sementara itu katanya, Sekretariat Induk Ops Ihsan sedang mendapatkan maklum balas dari petugas Dapur Ihsan bagi menganalisa implikasi penutupan pintu masuk dan langkah terbaik bagi mendepani kemelut untuk meneruskan bantuan kepada rakyat Palestin di timur Rafah.

Katanya, Dapur Ihsan pada bulan Ramadan berjaya menyediakan makanan untuk berbuka puasa mencecah lebih satu juta yang memberi manfaat kepada mereka yang berada di Deir al Balah, Nusairat, Al Maghazi dan utara Sheikh Radwan.s.

Ketika ini Dapur Ihsan beroperasi di Deir al Balah dan berkemampuan menyediakan 49000 hidangan makanan masak sehari.

“Kawasan-kawasan ini menempatkan lebih 150,000 orang pelarian yang telah kehilangan segalanya dari tindakan kejan rejim Zionis. Inisiatif ini diusahakan oleh saudara Atef Rayyan bersama keluarganya di rumah mereka.

“Rumah tersebut yang pada mulanya hanya dijadikan tempat perlindungan sementara untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal, kemudiannya digunakan untuk aktiviti memasak untuk para pelarian,” katanya.

Penyediaan makanan dari dapur ini telah dibantu dengan hasil kutipan dana oleh Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar), MyFund Action dan Friends of Palestine (FOP).

Seramai 14 tukang masak dan 25 orang sukarelawan bersama-sama mengendalikan Dapur Ihsan.

Setiap hidangan boleh dimakan oleh dua hingga tiga orang. Kos penyediaan makanan ini sebanyak RM 23.00- RM28.00 bergantung kepada jenis makanan sama ada nasi, bubur atau bijirin.

Ops Ihsan akan memohon menggunakan dana dari Tabung Palestin dbawah Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) untuk membantu dalam operasi dapur berkenaan dalam menyantuni mereka yang amat memerlukan di Gaza.

Manakala, MyFundAction, Mahar dan FOP akan terus giat mengumpul dana untuk penyediaan makanan tersebut. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) 562357511640 MAYBANK BERHAD Ref: DAPUR IHSAN.- MalaysiaGazette