Foto FB Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan tarikh aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat ini.

MFL dalam satu kenyataan berkata, perlawanan berkenaan akan diteruskan pada tarikh ditetapkan selepas mendapat jaminan daripada pihak keselamatan daripada polis.

“Dengan persiapan keselamatan dilakukan pihak polis, MFL membuat keputusan bahawa semua perlawanan Liga Malaysia yang akan berlangsung minggu ini akan jalankan mengikut jadual termasuk Perlawanan Sumbangsih,” tulisnya.

Semalam, Selangor FC membuat permohonan supaya aksi menentang JDT di tempat lawan ditangguhkan ke satu tarikh baharu atas faktor keselamatan.

Langkah itu diambil selepas pemainnya, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu sehingga menyaksikannya cedera dan melecur di beberapa bahagian badan tahap empat.

Selain itu, mereka turut berjaga-jaga selepas pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid disamun di Terengganu dengan dia kini difahamkan sudah berada dalam keadaan stabil.

Skuad Gergasi Merah layak untuk berentap dalam Piala Sumbangsih selepas menamatkan saingan Liga Super 2023 di tempat kedua sementara JDT merebut tiket setelah menjuarai kesemua kejohanan peringkat domestik. – MalaysiaGazette