Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri beramah mesra bersama penerima bantuan selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama penerima bantuan dan warga kerja institusi JKM ketika di Rumah Ehsan, Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 09 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa melakukan penilaian semula ke atas semua bentuk bantuan dan dasar lapuk di bawah kementerian itu dari semasa ke semasa.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu
bertujuan memastikan setiap dasar dan garis panduan penyelarasan serta agihan bantuan dapat dinikmati golongan sasar, terutama selepas ramai dalam kalangan golongan M40 yang kini beralih ke kategori B40.

Katanya, keseluruhan proses itu dibuat secara menyeluruh dan berterusan, selain tidak hanya terhad kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semata-mata.

“Saya sudah minta supaya (semua agensi di bawah KPWKM) menilai semula setiap dasar dan garis panduan lapuk yang tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa secara menyeluruh.

“Tiada tempoh khusus ditentukan bagi tujuan ini, selain semua kakitangan KPWKM sentiasa peka terhadap perubahan, terutama yang dibangkitkan sendiri oleh saya sama ada menerusi ucapan atau platform lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Penerima Bantuan dan Kakitangan Institusi JKM di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Hulu Selangor serta surat kelulusan bantuan, kad orang kurang upaya (OKU) dan sumbangan kepada penerima bantuan dan kakitangan Institusi JKM.

PPKK bertugas menyelaraskan program pencegahan, perlindungan dan perkembangan kanak-kanak di peringkat komuniti manakala PKKK menyediakan sokongan khusus dalam perkhidmatan pemulihan dan perlindungan golongan itu.

Sementara itu, Nancy menyeru agar orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kanak-kanak, terutama di Kuala Lumpur yang didapati hidup dalam garis kemiskinan.

Katanya, lebih 130 jenis bantuan disediakan kerajaan bagi membantu golongan memerlukan, sekali gus mengatasi keciciran dalam penyaluran sumbangan bersesuaian, terutama membabitkan kelompok berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang meneliti kaedah untuk menambah naik taraf kehidupan kanak-kanak melalui penambahbaikan perlindungan sosial yang dibincangkan menerusi Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC).

“Perlu kita ingat kanak-kanak adalah aset negara, kalau mereka (sebagai contoh) tidak diberi pemakanan yang betul, ia akan menjejaskan proses tumbesaran dan memberi kesan tidak baik kepada negara.

“Inilah golongan yang kita perlu bimbing untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan. Maka kita perlu menjaga kesihatan dan keperluan kanak-kanak ini,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai kes rogol membabitkan kanak-kanak, Nancy berkata, pihaknya sudah menganjurkan program advokasi yang menyasarkan semua sekolah di seluruh negara bagi mengatasi masalah itu.

Ujarnya, Tribunal Antigangguan Seksual juga sudah ditubuhkan dan kini beroperasi di Putrajaya, selain akan diperluas ke seluruh negara, sejurus projek pembinaan pejabat di setiap negeri siap sepenuhnya.

Tambah beliau, KPWKM turut melancarkan organisasi berasaskan komuniti bagi menggalakkan pihak berkaitan di kampung dan daerah, termasuk pertubuhan bukan kerajaan untuk membantu mengatasi isu terbabit.

“Skuad Wajar membabitkan komuniti setempat juga sudah dilancarkan bagi membantu pihak berkuasa. Masyarakat, terutama yang paling hampir dengan mangsa boleh menggunakan platform ini bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Orang ramai juga perlu melaporkan kejadian terbabit ke Talian Kasih 15999. Talian ini sekurang-kurangnya dapat memberi pelbagai bentuk bantuan, termasuk perkhidmatan kaunseling untuk membantu mangsa dan keluarga mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette