BATANG KALI – Bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari boleh komen apa sahaja mengenai tindakan perlucutan keahliannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tindakan duduk sepentas dengan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao sudah jelas menentang pelembagaan parti.
“Itu dia kata, dia boleh kata apa, kita ada pakar dan perlembagaan Bersatu.
“Nyata perbuatannya duduk sepentas berucap untuk menentang kita , sokong kita lagi? Fikir, logik tak? soal Muhyiddin.
Muhyiddin berkata demikian kepada media selepas mengadakan siri kempen bersama masyarakat India di Batang Kali.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata apa-apa tindakan yang diputuskan akan berlandaskan kepada perlembagaan parti.
“Sebab itu apa pun tindakan akan kita buat berdasarkan peraturan parti,” katanya lagi.
Semalam, Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dilihat berkempen untuk Sock Tao dan padang menyokong kempen Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Beliau turut berucap pentas Ceramah Isu Semasa di sekitar Batang Kali, lewat malam tadi.
Rashid berkata, keputusan membantu kempen Sock Tao dibuat selepas mempertimbangkan tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang menghalangnya berbuat demikian.
Katanya, ia juga didorong pencapaian kerajaan negeri yang mentadbir Selangor secara berkesan, selain berpendapat Sock Tao boleh menjadi wakil rakyat yang baik jika diberikan mandat pada Sabtu ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan parti akan menghantar surat berkaitan status keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu yang masing-masing menyokong pentadbiran Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor akan dihantar minggu hadapan.
Malah Hamzah berkats surat berkenaan akan dihantar secara serentak kepada semua wakil rakyat berkenaan, sejurus PRK DUN Kuala Kubu Bharu selesai. – MalaysiaGazette