Monday, May 20, 2024
Home Utama Sultan Selangor perkenan keputusan Selangor FC, kecewa dengan MFL

Sultan Selangor perkenan keputusan Selangor FC, kecewa dengan MFL

Foto FB Selangor Royal Office.
KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan pasukan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadual berlangsung esok (10 Mei).
Baginda yang juga penaung Selangor FC menzahirkan pandangan sedemikian susulan tercetus beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai bola sepak baru-baru ini.
Sultan Selangor turut menzahirkan rasa kecewa kerana pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.
Titah Sultan Selangor, keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.
“Bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor Royal Office dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu turut menyebut, Sultan Selangor berkenan menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa sahaja bentuk termasuk gerakan #standwithfaisalhalim #stoptheviolence.
Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin menyeru semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.
Baginda menegaskan, Selangor FC sedia berdepan dengan apa sahaja tindakan, susulan keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan berkenaan. – MalaysiaGazette