BANTING – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) tidak menolak kemungkinan pembangunan dan penggunaan teknologi dalam sektor perladangan mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga buruh asing pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, hasil keluaran komoditi boleh ditingkatkan jika penggunaan mesin berteknologi tinggi diperluaskan kepada semua pemain industri di negara ini.

“Pembangunan teknologi mechanization ini bertujuan mengurangkan keperluan tenaga buruh asing pada masa akan datang.

“Contohnya Sime Darby Plantation Berhad telah labur banyak teknologi yang menyebabkan mechanization dia bagus.

“Hasilnya penggunaan pekerja Sime Darby sekarang sudah meningkat dari 8 hektar kepada 12.5 hektar untuk seorang pekerja.

“Lagi tinggi kita meningkatkan mechanization ini, lagi kurang kita punya tenaga buruh yang diguna pakai dalam perladangan kita,” katanya kepada pemberita di Pulau Carey, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke pusat operasi SimeDarby Plantation Berhad di Pulau Carey, Banting, hari ini.

Terdahulu beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke pusat operasi SimeDarby Plantation hampir dua jam.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Perdana Menteri sangat mengambil berat sektor perladangan yang menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

“Perdana Menteri sangat mengambil berat nak tengok supaya perladangan kita sentiasa memenuhi dua tiga perkara.

“Lebih-lebih lagi kawasan hutan kita mahu dikekalkan, tapi kita nak meningkatkan hasil,” katanya.

Menurut beliau, keperluan kepada buruh asing hanya menjadi satu keperluan untuk sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).

Dalam perkembangan sama, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menerima pakai pembangunan teknologi yang dihasilkan SimeDarby Plantation dan kemudiannya diperkenalkan kepada pemain industri lain.

“Sebahagian teknologi ini mereka sudah pakai, sebahagian lagi masih lagi prototaip.

“Saya akan pastikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerima pakai teknologi ini dan kita perkenalkan kepada semua pemain industri kelapa sawit.

“Perdana Menteri menekankan betapa pentingnya kalau ada standup yang perkenal teknologi ini, apabila dia berjaya, kita nak pastikan ia dapat jual kepada pemain-pemain industri,” katanya. – MalaysiaGazette