KUALA LUMPUR – MCA menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat dan mengharamkan DJ dari Korea, NewJeansNim yang menyamar sebagai sami Buddha dari menghadiri mana-mana lokasi di negara ini.
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia susulan tindakan DJ Korea itu yang berpakaian seperti seorang sami dengan membuat persembahan di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Tindakan individu itu sama sekali tidak wajar dan harus dihalang dalam apa juga tindakan.
“Masyarakat Buddha tidak menghalang penghibur itu ke negara ini sekiranya beliau tidak berpakaian sebagai sami dan melibatkan sebarang unsur keagamaan dalam persembahannya yang jelas telah menghina agama Buddha.
“Gembira mengetahui penganjur telah membatalkan persembahan kedua DJ berkenaan yang dijadualkan berlangsung di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur pada 21 Mei ini.
“Bagaimanapun, saya difahamkan beliau telah dijemput untuk satu lagi persembahan di Melaka yang dijangka berlangsung pada 31 Mei” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah Ka Siong, isu tersebut telah disampaikan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Jelasnya, sebarang persembahan individu yang cuba menyamar sebagai sami Buddha hendaklah dihentikan bagi memelihara keharmonian agama di negara ini.
Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat memaparkan penampilan sulung DJ Korea membuat persembahan dengan memakai jubah sami berwarna putih di kelab malam pada 3 Mei lalu.
Video tersebut mendapat kecaman masyarakat Buddha dan badan bukan kerajaan (NGO). dengan mendakwa tindakan DJ tersebut tidak menghormati cara hidup dan menghina agama mereka. – MalaysiaGazette