Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Tujuh pegawai dan anggota polis termasuk seorang berpangkat Asisten Komisioner (ACP) yang pernah ditahan dalam kes jenayah pemerasan wang kripto RM1.25 juta kini direman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi hari ini berkata, turut ditahan untuk disiasat mengikut SOSMA adalah pegawai kanan berpangkat Deputi Superintenden (DSP), tiga Inspektor, dan masing- masing seorang Sarjan dan Lans Koperal.

“Kesemua pegawai dan anggota yang berusia 32 hingga 50 tahun itu kini direman selama 28 hari untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(5) SOSMA 2012 bermula semalam sehingga sehingga 5 Jun ini.

“Hasil daripada risikan dan siasatan yang dijalankan sebelum ini mendapati kumpulan pegawai dan anggota ini bertindak secara bersama untuk melakukan jenayah kesalahan serius dengan tujuan untuk mendapatkan faedah.

“Justeru, penahanan ini adalah bagi membantu siasatan lanjut dijalankan pihak polis sekiranya terdapat elemen lain,”katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor juga ditahan selepas tampil menyerah diri semalam.

“Individu berkenaan telah ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1) SOSMA 2012.

“Kita akan membuat permohonan perintah reman ke atas suspek berkenaan pada hari ini untuk tindakan selanjutnya dalam siasatan kes ini,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast