Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) rasa dukacita atas pemergian Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal.

Setiausaha agung kedua-dua parti itu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan ia merupakan kehilangan besar buat Sarawak apatah lagi beliau melakar sejarah apabila menjadi orang Dayak pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara selain jasanya dalam politik dan pembangunan negeri.

“Sejak penglibatannya di dalam politik, beliau telah memainkan banyak peranan penting dalam membantu parti dan juga tentunya komuniti Lun Bawang dalam mengetengahkan peranan mereka dalam bersama-sama membangunkan negeri Sarawak,” katanya menerusi Facebook.

Alexander berkata, mendiang bukan hanya rakan seperjuangan dalam arena politik malah juga dianggapnya sebagai kenalan rapat.

Sehubungan itu, beliau rasa terkesan dengan berita kematian Mutang Tagal.

“Mendiang bukanlah satu figura asing kepada saya. Saya masih mengingati sejarah penglibatan beliau di dalam politik Sarawak di mana ayah saya, Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi yang merupakan Setiausaha Agung PBB pada ketika itu telah memainkan peranan penting membawa mendiang menyertai PBB pada tahun 70-an sebelum menjadi Ahli Yang Berhormat dari tahun 1980-an hingga 1990-an.

“Beliau bukan hanya sekadar rakan seperjuangan di dalam politik tetapi juga merupakan kenalan rapat kepada saya dan seluruh ahli keluarga,” tambah  Menteri Kerja Raya itu.

Sementara itu, beliau mendoakan semoga semua ahli keluarga mendiang dan seluruh komuniti Lun Bawang diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini.

Dilaporkan, Mutang Tagal meninggal dunia pukul 11.46 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN).

Mendiang yang berusia 70 tahun sebelum itu telah menerima rawatan di institusi perubatan itu selepas tiba di Malaysia pada Isnin lalu dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.-MalaysiaGazette