SHAH ALAM – Tragedi menimpa pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim yang cedera akibat disimbah asid baru-baru ini mendapat perhatian meluas sehingga pemain bola sepak antarabangsa turut melahirkan rasa simpati.

Kejadian itu mendapat perhatian pemain sayap serta penjaga gol kelab Liga Perdana Inggeris Manchester United, Alejandro Garnacho dan Andre Onana yang meluahkan kata-kata semangat buat beliau dalam satu program temu bual oleh sebuah televisyen swasta.

”Kami merasai anda, kami bersama kamu, kami tahu ia adalah suatu keadaan yang sukar untuk keluarga anda.

“Kami hanya mengharapkan yang terbaik untuk kamu. Terus kuat bagi pihak rakan sepasukan kami. Kekal tabah,” kata mereka dalam program tersebut.

Terdahulu, Mohamad Faisal yang turut dikenali sebagai Faisal Halim yang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini berada dalam fasa rawatan rekonstruktif menggunakan ‘skin allograft’ atau tampalan kulit yang diterbangkan dari Belgium.

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata, ketika ini perkara penting adalah bagi melihat reaksi atau tindak balas tubuh pemain berkenaan terhadap proses terbabit sama ada menunjukkan tanda positif atau sebaliknya.

Faisal Halim yang menjalani pembedahan ketiga petang semalam terus menunjukkan reaksi positif selain sudah menyatakan hasrat mahu pulang.

Pemain berusia 26 tahun itu dalam masa sama tidak boleh dikunjungi pelawat dan memerlukan pemantauan rapi sebelum doktor pakar melakukan pembedahan seterusnya.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast