KUALA KUBU BAHARU – Seorang warga emas lumpuh separuh badan nekad untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu walaupun beliau terbaring di atas katil.
Akibat tidak dapat bergerak, Zul Majid, 63 yang diiringi isteri, Dalilah Abas, 61, terpaksa menggunakan perkhidmatan ambulans swasta untuk ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pechah di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Zul yang tinggal di Ampang Pecah berkata, beliau memaksa dirinya untuk menunaikan tanggungjawab biarpun terlantar sakit.
“Saya mahu wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menjaga rakyat, soal agama bangsa jangan jadi pertikaian, yang penting berkhidmat sebaiknya untuk rakyat yang sudah memilih,” katanya.
Sementara itu, isterinya Dalilah berkata, suaminya lumpuh separuh badan sejak empat tahun lalu dan hanya boleh duduk dan baring sahaja di rumah.
“Dia tidak ada paksa pun, cuma kali ini dia berkobar-kobar hendak pergi mengundi dan sampai di sini ada petugas yang turut membantu, jadi ia memudahkan urusan,” katanya mengiringi suaminya.
Zul dan Dalilah merupakan antara 39,269 pengundi berdaftar yang akan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan.
Sebanyak 18 pusat pengundian yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser. – MalaysiaGazette