KUALA LUMPUR – Seramai 10 orang pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kuala Berang, Terengganu berjaya keluar daripada bangunan asrama yang terbakar awal pagi ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang insiden itu pada jam 3.39 pagi
Bertindak atas maklumat, pasukan Bomba daripada dua buah balai iaitu Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Kuala Berang dan BBP Wakaf Tapai membabitkan 15 anggota bersama dua jentera FRT, sebuah Water Tanker dan sebuah Toyota Hilux digerakkan ke lokasi kejadian sebaik dihubungi.
Komandan Operasi JBPM Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II (TPgB II) Baharum Mohammad Hasim berkata, kebakaran melibatkan sebuah bilik asrama yang berkeluasan 20 kaki panjang dan 20 kakilebar musnah terbakar sehingga 70 peratus.
“Dalam kejadian itu, seramai 10 orang pelajar berjaya keluar daripada bangunan asrama dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pasukan Bomba telah bertindak menjalankan operasi pemadaman kebakaran dengan menggunakan sumber air daripada pam jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Tambah beliau, operasi pemadaman tamat pada jam 5.46 pagi. – MalaysiaGazette















