HULU SELANGOR – Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao mengakui terharu menerima ucapan tahniah daripada orang ramai yang ditemui pada hari pertama beliau bergelar wakil rakyat.
Menurutnya, menerusi ucapan yang diterima itu, beliau berjanji tidak akan mengecewakan kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha menyelesaikan masalah tempatan sebagaimana diucap ketika berkempen sebelum ini.
“Ya, saya rasa terharu dan ini juga menunjukkan betapa penting kemenangan ini kepada penduduk Kuala Kubu Baharu.
“Ini merupakan satu sokongan dan dokongan serta juga galakan terhadap segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan.
“Kita akan berusaha bersungguh-susngguh untuk mencapai matlamat yang diharapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengundi dan orang ramai bagi mengucapkan terima kasih di Pasar Awam Kuala Kubu Baharu di sini, hari ini.
Beliau ditemani suaminya Yap Bing Yew, 32, yang merupakan seorang peguam.
Sock Tao turut memberikan kuntuman bunga mawar kepada setiap individu yang ditemui sebagai tanda penghargaan dan ucapan Selamat Hari Ibu yang disambut harin ini.
Dalam pada itu Sock Tao berkata, beliau akan memulakan khidmatnya sebagai wakil rakyat bermula Selasa ini.
Sebelum itu, beliau memaklumkan bahawa pejabat khidmatnya akan ditutup pada hari Ahad dan Isnin.
Sock berjaya mengekalkan kerusi Dewan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu selepas menewaskan tiga pencabarnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan semalam.
Menerusi saingan empat penjuru, Sock Tao memperolehi 14,000 undi.
Tiga pencabarnya yang merupakan calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi manakala calon Bebas, Nyau Ke Xin dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin masing-masing meraih 188 dan 152 undi.
Sock Tao menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 3,869 berbanding 4,119 undi yang dimenangani penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong.
Pengisytiharan keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Audree Kamaruddin di Pusat Pengiraan Undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor malam tadi.
PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kerusi DUN N.06 diisytihar kosong oleh Speaker Dewan Negeri Selangor selepas penyandangnya, Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu. – MalaysiaGazette