Foto: Terengganu FC

KUALA LUMPUR – Naib juara Piala Malaysia 2023 Terengganu FC (TFC) memulakan kempen Liga Super 2024/2025 dengan langkah kanan selepas menjinakkan Perak FC 3-1 pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, malam ini.

Skuad Penyu bimbingan Tomislav Steinbruckner bermula cemerlang apabila mendahului 1-0 seawal minit keenam hasil rembatan pemain tengah dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinovderas dari luar kotak penalti, sebelum Perak bangkit memberikan saingan hebat.

Usaha pasukan pelawat memburu gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil dalam separuh masa kedua apabila kapten, Luciano Guaycochea tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-61 selepas pemain tengah kebangsaan Filipina Manuel Ott menjatuhkan Lee Tae Min.

Namun, kegembiraan skuad kendalian Yusri Che Lah itu tidak bertahan lama apabila pemain pertahanannya Shivan Pillay menjaringkan gol sendiri pada minit ke-66 sebelum penyerang gantian dari Nigeria Nnabuike Chukwu melengkapkan kejayaan Terengganu dengan gol ketiga pada minit ke-81.

Sementara itu, Sri Pahang FC terpaksa bekerja keras sebelum berjaya meraih tiga mata berharga dengan menundukkan Kelantan Darul Naim FC 1-0 pada pertembungan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh yang menjadi venue rasmi skuad Tok Gajah musim ini.

Pasukan pelawat kendalian Park Jae Hong terlebih dahulu mengancam gawang Sri Pahang menerusi percubaan Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin pada minit ke-11, namun rembatan derasnya hanya meluru tepat ke arah penjaga gol Mohd Zarif Irfan Hashimuddin.

Menghampiri rehat, penyerang import dari Argentina, Manuel Hidalgo terlepas peluang untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan selepas sepakan lambungnya pada minit ke-40 dari jarak dekat diselamatkan penjaga gol Khatul Anuar Md Jalil.

Bagaimanapun, Hidalgo berjaya menebus kekecewaan itu apabila mencipta jaringan cantik menerusi sepakan percuma dari jarak dekat pada minit ke-63 yang akhirnya menjadi gol kemenangan pasukan bimbingan Fandi Ahmad itu.

Terdahulu, penyerang pinjaman Muhammad Syafiq Ahmad muncul penjaring sulung Liga Super dan meledak gol terpantas setakat ini selepas membantu Kedah Darul Aman FC menewaskan juara MFL Challenge Cup 2023 PDRM FC 1-0 pada aksi sebelah petang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Bekas penyerang skuad Harimau Malaya yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu meledak gol selepas 33 saat perlawanan bermula sebelum hujan lebat yang turun hampir sepanjang aksi menjejaskan mutu permainan kedua-dua pasukan.

Kemenangan di gelanggang lawan itu penting buat skuad Sang Kenari bimbingan Mohd Nafuzi Zain apabila terpaksa memulakan musim baharu dengan defisit tiga mata selepas dihukum Liga Bolasepak Malaysia (MFL) susulan isu kelewatan pembayaran tunggakan gaji musim lepas.

Ketiga-tiga perlawanan hari ini menyaksikan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) membuat debut dalam kancah Liga-M selepas dijadual digunakan pada perlawanan Sumbangsih antara JDT dan Selangor yang sepatutnya berlangsung semalam, namun dibatalkan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast