Pakar Alam Sekitar Fakulti Pehutanan dan Alam Sekitar (FHAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zelina Zaiton Ibrahim.

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) mengajak masyarakat untuk terus menghargai alam sekitar demi kesejahteraan iklim Malaysia yang kini semakin panas.

Pakar Alam Sekitar dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS) UPM, Dr. Zelina Zaiton Ibrahim menekankan pentingnya pendidikan awal dalam membentuk dan mengubah pemikiran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

“Semasa lawatan kerja ke Australia, saya menyedari bahawa kanak-kanak di sana telah diberi penekanan awal melalui perubahan kurikulum pengajaran dan penekanan kepada pengajian biologi (kaji hayat).

“Ini secara tidak langsung telah menanam minat dalam diri mereka untuk menghargai persekitaran semula jadi.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan penting untuk negara tetapi mungkin kita boleh pertimbangkan semula dengan pemilihan model bersesuaian yang sejajar dengan budaya serta memerhatikan kesinambungan manusia dan alam sekitar,” katanya.

Beliau turut berkongsi pandangan beliau bahawa insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail baru-baru ini berkait rapat dengan perubahan iklim semasa yang ekstrem lalu menyebabkan kejadian ribut yang luar biasa.

Pembangunan di bandar memainkan peranan utama dalam mengekalkan kawasan hijau yang boleh dinikmati oleh orang awam.

“Kejadian ribut ini adalah satu trend yang dijangka akan berlaku dalam masa yang lama serta pelu diberi perhatian untuk mengurangkan risiko mengikut keadaan semasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette