Barisan peguam mewakili ibu tunggal, Loh Siew Hong di Mahkamah Persekutuan hari ini.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara membuat ketetapan tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong akan kekal sebagai bukan Islam.

Sebelum ini, tiga anak Siew Hong telah ditukar agamanya oleh bapa mereka secara unilateral selepas lelaki itu memeluk agama Islam pada tahun 2020.

Hari ini, tiga panel Hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan kebenaran rayuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) untuk kembalikan penukaran agama oleh lelaki mualaf itu, Muhammad Nagahswaran Muniandy.

Rayuan kes itu turut dirayu Kerajaan Negeri Perlis, muftinya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta pendaftar mualaf negeri.

Sebentar tadi, Tengku Maimun bersama dua lagi hakim bersidang, Datuk P Nallini dan Datuk Abu Bakar Jais berpandangan permohonan itu tidak ada keperluan memandangkan keputusan telah dibuat oleh lima panel hakim peringkat Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan penukaran agama mereka secara unilateral kepada Islam oleh bekas suami Siew Hong  selepas mendapati ia adalah menyalahi undang-undang.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang mempengerusikan panel tiga hakim ketika itu berkata, mahkamah terikat dengan keputusan kes Indira Gandhi bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa mesti diperoleh sebelum kanak-kanak di bawah umur ditukar agama.

Siew Hong merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Mei 2023 yang menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam oleh Nagahswaran tanpa persetujuan beliau.

Ibu tunggal itu, yang memfailkan permohonan pada 25 Mac 2022, menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden.

Siew Hong memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan Nagahswaran tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya. -MalaysiaGazette