Pegawai Perhilitan meninjau benteng Sungai Malim, Klebang Besar, Melaka ekoran aduan penduduk diancam bahaya buaya tembaga liar yang sering mengganggu kehidupan seharian mereka.

MELAKA – Kira-kira 3,000 penduduk sepanjang Sungai Malim, Klebang di sini diancam bahaya dengan kehadiran lima ekor buaya tembaga liar yang semakin mengganggu kehidupan seharian mereka sejak kebelakangan ini.

Dalam kejadian terbaharu kira-kira 5 petang semalam, seekor kambing betina dibaham reptilia itu ketika ternakan itu sedang mencari makan di tepi sungai berkenaan.

Penternak kambing, Muhammad Nur Iman Ahmad, 24, berkata, kejadian itu bukanlah yang pertama berlaku apabila tidak kurang tiga ekor kambing miliknya dibaham buaya berkenaan dalam tempoh tiga bulan lalu menyebabkannya kerugian lebih RM5,000.

Muhammad Nur Iman Ahmad

“Kejadian berlaku begitu pantas dan kali ini buaya berkenaan dilihat lebih agresif berbanding sebelum ini membuatkan hidup kami di sini dalam ketakutan.

“Mujurlah yang disambar itu kambing, bagaimana kalau nasib sama menimpa kanak-kanak yang bermain di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Nozlan Ibrahim, 53, berharap isu itu dapat segera ditangani pihak berkuasa termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Nozlan Ibrahim

“Mungkin mereka boleh memasang perangkap dan sebagainya untuk mengelak daripada ada penduduk yang menjadi korban buaya tembaga liar itu.

“Walaupun kawasan ini adalah habitatnya, tolonglah buat sesuatu untuk menoktahkan kebimbangan penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Hamzah Ibrahim berkata, dianggarkan tidak kurang lima ekor buaya tembaga berkeliaran di sepanjang sungai berkenaan.

Hamzah Ibrahim

“Di kawasan benteng sungai ini sahaja, terdapat tidak kurang 3,000 penduduk yang mana kita takut berlaku tragedi yang lebih besar sekiranya tiada tindakan diambil pihak berwajib,” katanya.

Semalam, tular video klip berdurasi sembilan saat tular di aplikasi TikTok memaparkan seekor buaya sedang membaham seekor kambing yang sempat dirakam penduduk. – MalaysiaGazette