Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengecam tindakan platform media sosial, Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan laporan berita berkaitan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di platform media sosial milik mereka.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menegaskan, tindakan syarikat terbabit jelas melanggar hak kebebasan media di negara ini.

Justeru, beliau sendiri akan menghantar surat kepada Meta bagi menuntut penjelasan berhubung perkara itu.

“Dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan sayap politik Hamas baru-baru ini, terdapat tiga (organisasi) media maklumkan kepada pejabat saya bahawa posting mereka khususnya dalam Meta diturunkan.

“Saya kecam tindakan Meta menurunkan artikel atau posting daripada media apatah lagi kerana ini adalah pelaporan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar dan pertemuan dengan sayap politik sebuah organisasi, bukan sayap militan atau ketenteraan,” katanya hari ini.

Fahmi berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.

Fahmi menjelaskan, terdapat beberapa laporan media tentang pertemuan Anwar dan Ismail diturunkan di media sosial.

“Terdapat sekurangnya-kurangnya tiga media yang telah memaklumkan kepada saya posting mereka dalam sosial media khususnya di Meta telah diturunkan.

“Di sini kita nampak laporan Malaysiakini dan Sinar Harian dan alasan diberikan adalah tidak relevan.

“Ada lagi satu Facebook MalaysiaGazette yang difahamkan akaun Facebook mereka juga telah ditutup oleh Meta,” katanya lagi.

Di Doha, Anwar sebelum ini berkata pertemuan beliau dengan pemimpin tertinggi Hamas berkemungkinan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakan-rakan Malaysia khususnya dari Barat.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia hanyalah sebuah negara bebas yang menyokong usaha-usaha perdamaian di Semenanjung Gaza dan memanfaatkan hubungan baik dengan Hamas bagi tujuan itu.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast