KUALA LUMPUR – Pembukaan bersejarah Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha, Qatar (UKM Qatar), yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, membuktikan kecemerlangan universiti itu di persada antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UKM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak yang bangga dengan kejayaan itu berkata pembukaan UKM Qatar, telah meletakkan universiti itu sebaris dengan universiti tersohor di dunia.

“Bukan mudah kerajaan Qatar membenarkan sesebuah universiti luar menubuhkan kampus pesisirnya di Qatar, tetapi UKM berjaya memperoleh kepercayaan ini atas dasar kecemerlangan yang terbukti melalui penarafan dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, kerajaan Qatar juga turut memberi tawaran dan kepercayaan kepada UKM, untuk menubuhkan hospital UKM dan penawaran program perubatan kampus itu.

Beliau berkata, tawaran menubuhkan hospital UKM di negara Timur Tengah itu, bukan hanya memberi peluang kepada pakar UKM mempraktikkan kepakaran masing-masing, tetapi memberi peluang lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di Qatar, seterusnya meningkatkan kemandirian kewangan UKM.

Ahli LPU UKM, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie pula berkata penubuhan kampus pesisir UKM Qatar, membuktikan UKM bukan lagi sebuah ‘universiti kampung’ dan pengiktirafan serta kejayaan yang diperolehi di peringkat antarabangsa, menunjukkan keyakinan masyarakat antarabangsa mengiktiraf universiti watan itu.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekwan Toriman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, khasnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah banyak memberi sokongan dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Beliau berkata, pembukaan kampus UKM Qatar, merupakan langkah dan komitmen UKM yang teguh dalam mengantarabangsakan pendidikan tinggi, sejajar dengan aspirasi KPT untuk meningkatkan kedudukan akademik negara di peringkat global.

Melalui kampus ini, UKM akan menawarkan lima program pengajian iaitu Sarjana Muda Sains Komputer, Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, Sarjana Muda Sains Aktuari dan Sarjana Muda Perakaunan, yang akan memulakan sesi pengajian pada Oktober ini.

Pelajar yang dipilih dari Negara-Negara Kerjasama Teluk (GCC), warganegara Qatar, serta ekspatriat di Qatar. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here