KUALA LUMPUR – Polis akan mempertingkatkan kawalan keselamatan menjelang aksi bola sepak Liga Super musim 2024/25 antara Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu ini.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah itu menjamin keselamatan pemain dan penonton sentiasa terkawal sebelum, semasa dan selepas perlawanan di stadium.
“Polis memberi amaran tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar arahan undang-undang.
“Para penyokong dan penonton bola sepak dinasihatkan agar sentiasa menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan semasa perlawanan di stadium nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 18 Mei ini, Selangor selaku Naib juara Liga Super musim lalu, akan beraksi dalam perlawanan pertamanya Liga Super musim ini menentang skuad KDA FC kendalian Nafuzi Zain.
Terdahulu, KDA FC dalam aksi pertamanya merekodkan kemenagan tipis 1-0 ke atas pasukan PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 11 Mei lalu.
Langkah memperketatkan keselamatan ini diutamakan selepas tiga pemain bola sepak termasuk Faisal Halim atau dikenali dengan jolokan Mickey menjadi sasaran penjenayah.
Faisal Halim disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada 5 Mei lalu sehingga mengalami kecederaan tahap empat sebelum menjalani beberapa siri rawatan pembedahan.
Sementara itu, pada 2 Mei lalu, pemain kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu apabila dipukul dengan senjata tumpul di kepala sebelum suspek melarikan telefon bimbit dan dompet pemain itu.
Manakala pada 7 Mei pula, pemain tengah JDT Safiq Rahim menjadi mangsa serangan terbaharu apabila cermin belakang keretanya dipecahkan oleh dua individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan kelab itu di Seri Gelam.
Ketiga-tiga kes itu diambil alih dan sedang dikendalikan siasatan oleh Bukit Aman.-MalaysiaGazette