Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 di Dewan Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah hari ini

KUANTAN – Kerajaan akan menyediakan tablet secara percuma kepada semua pelajar dan guru di seluruh negara secara berfasa dalam usaha memartabatkan Dasar Pendidikan Digital.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilikan tablet penting kepada pelajar dan guru kerana ia merupakan keperluan dalam kaedah pembelajaran masa kini.

”Saya amat mendokong pelaksanaan pada dasar yang sedang dijalankan oleh KPM dan tentunya  menterjermahkan pelaksanaan tablet amat diperlukan bukan hanya di kalangan para guru tapi murid-murid dan pelajar.

”Ini kerana pendekatan  pembelajaran yang berada telah berubah kepada sistem pembelajaran melalui kaedah digital,” katanya selepas majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 bertema ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani’, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid menjangkakan pemberian itu dapat dilakukan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

“Walaupun tahun ini sebanyak RM58.7 bilion telah diperuntukkan kepada KPM namun saya yakin bajet tahun hadapan akan bertambah bagi pembelian perkakasan melaksanakan kaedah pembelajaran melalui sistem digital,” ujarnya. – MalaysiaGazette