Ahmad Zahid merasmikan Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt Felcra Japutra Sdn Bhd - Cenergi SEA Berhad (Cenergi) di Jerantut hari ini.

JERANTUT – Stesen biogas yang dibina dan beroperasi di Malaysia terutamanya dalam sektor pertanian harus diperbanyakkan lagi.

Ia bagi mencapai matlamat negara meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 31 peratus menjelang 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penerokaan tenaga boleh diperbaharui itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api fosil tetapi juga membantu mengurangkan bebanan kerajaan dalam pengagihan subsidi elektrik.

Kos penanggungan kerajaan dalam subsidi elektrik sebelum ini sangat tinggi kerana ia diberikan kepada semua kumpulan sama rata dan kerana itu pelaksanaan subsidi bersasar dilakukan.

“Sekarang kumpulan bersasar diberi keutamaan kepada kumpulan B40 dan M40 menikmati (subsidi elektrik). Dengan adanya kemudahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) biogas seperti yang kita lihat hari ini, Insya-Allah tanggungan kerajaan tidak akan lebih besar berbanding yang ada sekarang.

“Kita mahu subsidi itu digunakan untuk pembangunan termasuk pembangunan infrastruktur yang masih lemah (contoh) untuk masuk ke kawasan ini. (Justeru) stesen biogas terbesar di Malaysia (Loji Janakuasa Biogas Efluen Sawit), usaha begini jangan terhenti di sini,” katanya ketika berucap merasmikan Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt Felcra Japutra Sdn Bhd – Cenergi SEA Berhad (Cenergi) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, bagi merealisasikan matlamat tersebut sembilan kilang Felcra Bhd di seluruh negara mempunyai kemudahan stesen biogas bagi menjana tenaga boleh diperbaharui.

“Saya (juga) akan jumpa untuk berbincang dengan Felda untuk mempunyai kilang sama di semua kawasan Felda. Ini demi kepentingan negara.

“Ini (juga) sesuai dengan kehendak Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang melihat ke hadapan bahawa kebergantungan kita pada sumber asli harus secara perlahan dan berfasa dikurangkan dengan menggunakan tenaga sumber baharu,” ujarnya.

Ahmad Zahid menegaskan potensi tenaga boleh diperbaharui adalah sangat besar dan kerana itu, beliau mengharapkan lebih banyak lagi syarikat milik kerajaan berkolaborasi dengan syarikat swasta yang mempunyai prospek tinggi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara khasnya dalam industri seperti biogas.

Projek Loji Janakuasa Biogas (Efluen Sawit) Grid Bersambung Terbesar di Malaysia dengan kapasiti 5.5-megawatt (MW) yang mula beroperasi sepenuhnya pada 11 April lepas di Kilang Sawit Felcra Jayaputra di sini mampu membekalkan tenaga elektrik kepada hampir 14,000 rumah atau kira-kira 70,000 penduduk luar bandar.

Ia merupakan loji janakuasa biogas grid bersambung terbesar di negara ini yang telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records. – MalaysiaGazette