KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Isa Isarb mengambil keputusan menghentikan Program Hero Teladan serta-merta selepas dikecam netizen kerana menempatkan peserta lelaki dan wanita di dalam satu rumah.
Malah, keputusan itu diambil kerana bimbang akan diserbu jabatan agama Islam negeri dan didakwa di bawah peruntukan undang-undang yang ada sekiranya ia diteruskan.
Menurut Isa, jika disabitkan kesalahan, tindakan boleh dikenakan dibawah Undang-undang Syariah Enakmen 11, 1965, Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam 1965, Bahagian IX dan Seksyen 154.
“Program ini mendapat tentangan keras daripada majoriti penonton selepas isu konsep program yang meletakkan peserta lelaki dan perempuan di bawah bumbung yang sama.
“Namun begitu, kami sebagai pihak penganjur tidak akan lepas tangan mengenai kebajikan atau usaha yang telah diberikan oleh setiap peserta dalam program ini,” katanya sambil memberi jaminan akan menanggung rugi bersendirian tanpa membabitkan peserta.
“Oleh itu, kami membuat keputusan untuk tetap membuat bayaran hadiah dan elaun kepada setiap peserta mengikut kadar 46 hari program berlangsung,” katanya yang turut memaklumkan tetap akan membayar elaun dan hadiah yang dijanjikan kepada peserta.
Isa memuatnaik notis untuk menghentikan program itu menerusi akaun TikToknya hari ini.
Hero Teladan adalah sebuah program cabaran yang mana peserta ditempatkan di dalam sebuah rumah yang dipenuhi kamera untuk mengawasi mereka selama 77 hari.
Peserta yang mampu bertahan akan memenangi wang sebanyak RM40,000. – MalaysiaGazette