Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Amanah Wilayah Persekutuan (WP) menerima baik pendirian Pas yang turut membela Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang diugut baru-baru ini.

Namun Pengerusi Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, Pas juga perlu juga menyedari kempen politik yang dibawa mereka turut menyumbang kepada bertambahnya kecenderungan terhadap tindakan ekstrimisme.

Kempen kebencian dan dakyah bahawa islam terancam adalah jenis propoganda yang menyuburkan ekstremisme agama, katanya.

“Amanah WP berharap agar siasatan segera dapat dibuat dan tindakan tegas diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia tanpa sebarang kompromi terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam ugutan jenayah seperti ini atau apa sahaja perlakuan yang boleh mencetuskan keganasan, bagi membendung insiden seperti ini dari terus berleluasa.

“Amanah WP juga menyeru semua pihak agar bersikap bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan sebarang provokasi dengan memainkan isu dan sentimen perkauman, ekstremisme agama atau apa sahaja perkara yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian yang sedang kita kecapi bersama ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Khalid, memandang serius dan mengutuk keras perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang membuat ugutan bunuh terhadap Teresa.

Selain itu, katanya, rentetan beberapa siri kejadian yang berlaku sejak minggu lepas terutamanya serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor dan cubaan menceroboh Istana Negara dengan bersenjatakan parang beberapa hari lalu, Amanah WP bimbang dengan suasana perkauman dan perbalahan agama yang semakin meruncing hasil dari golongan yang memainkan isu-isu perkauman atau fahaman agama sempit dan melampau. – MalaysiaGazette