Manzoor Azwira. Foto Facebook Penang FA.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Penang FC II, Manzoor Azwira berharap lebih ramai anak buahnya dapat mengikut jejak langkah beberapa pemain muda lain yang ‘dinaikkan pangkat’ beraksi di pentas Liga Super musim ini.

Penang FC antara paling ramai mengikat tujuh pemain daripada pasukan bawah 23 tahun yang beraksi di pentas Piala MFL musim lalu iaitu Haziq Mukriz Hasemuddin, Aikmal Roslan, Iman Rafaei Abd Razak, Shafu Azswad Sapari, Izzat Zikri Iziruddin, Daniel Irfan Nadzri dan Alif Ikmalrizal Anuar.

Justeru Manzoor yang mengambil alih posisi ketua jurulatih kelab bawah 23 tahun itu pada musim ini meletak harapan tinggi agar barisan pemain mampu bersaing lebih hebat sekiranya ingin menambat hati skuad utama Liga Super selepas ini.

Hanya lima sahaja pemain musim lepas yang dikekalkan dalam pasukan menyaksikan seramai 20 pemain baharu hadir bagi mengharungi kejohanan Piala MFL pada tahun ini.

“Tujuh pemain tersebut adalah di bawah bimbingan jurulatih Akmal Rizal tahun lepas dan mereka berjaya membuktikan kemampuan untuk bersaing di peringkat Liga Super pula musim ini.

‘Jadi saya rasa ia merupakan pencapaian yang baik dan positif untuk kelab Penang FC dan saya berharap tahun ini apabila saya yang bertanggungjawab membimbing pasukan di Piala MFL, akan ada lagi pemain berbakat dapat dinaikkan ke Liga Super.

“Dengan pemain-pemain baharu yang ada sudah tentu banyak yang perlu dilakukan dan saya percaya kami mampu untuk terus bangkit selepas ini,” katanya kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Penang FC tewas 1-2 kepada PDRM FC dalam aksi pertama kejohanan Piala MFL yang telah berlangsung semalam.

Bagi Manzoor, nasib pasukan kurang baik apabila melepaskan jaringan mudah kepada pihak lawan dan masih banyak yang perlu diperbaiki dalam usaha mereka untuk mencapai sasaran lima terbaik bagi kejohanan ini.

“Sebenarnya anak buah saya telah mempamerkan aksi yang baik dan seimbang, tetapi itu adalah perlawanan pertama dan sudah pasti kekurangan yang ada masih boleh diperbaiki.

“Perlawanan akan datang (lawan Kedah Darul Aman FC B) kita akan cuba dapatkan tiga mata apatah lagi beraksi di laman sendiri dan saya berharap pasukan ini akan terus menjadi lebih baik pada masa akan datang”, tambahnya. – MalaysiaGazette