Gambar hiasan

PUTRAJAYA –  Kementei Komunikasi memberikan tempoh selama 20 hari kepada syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) untuk memuktamad dan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam syarikat Digital Nasional Berhad (DNB).

Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, syarikat telekomunikasi perlu menyelesaikan proses berkenaan kerana ia adalah syarat wajib sekiranya syarikat berkenaan ingin terbabit dalam rangkaian kedua 5G.

“Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa mesyuarat pertama Lembaga Pengarah DNB diadakan semalam dan wakil daripada telco, setiap daripada lima syarikat telco diwakili seorang ahli lembaga pengarah, diberikan masa 20 hari untuk membuat beberapa keputusan.

“Maka kita jangka selepas tempoh itu, kita harap akan dilengkapkan dan dimuktamadkan pegangan ekuiti dalam DNB oleh telco ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet hari ini.

Untuk rekod, sehingga 30 April lalu, capaian rangkaian 5G bagi kawasan berpenduduk sudah mencecah 81.5 peratus manakala daripada segi penerima untuk rangkaian sama pula sudah mencapai 39.2 peratus.

Jelas Fahmi lagi, angka pencapaian rangkaian 5G itu menyaksikan peningkatan 3.8 peratus berbanding Mac lalu.

“Secara keseluruhan, terdapat 13.2 juta akaun 5G di dalam negara, ini adalah pencapaian baik dan cukup poisitif, sudah pasti menunjukkan bahawa dari segi dasar kerajaan dan badan kawal selia iaitu MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) berjalan dengan bak.

“Pecahan bagi angka penerimagunaan pula, bagi individu sudah mencecah 12.78 juta pengguna, manakala bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah sebanyak 422,609 akaun,” katanya. – MalaysiaGazette